Bersempena persidangan The 5th World Conference On Islamic Thought & Civilization (WCIT2018) yang akan diadakan pada 16-18 Julai 2018 ini. Sister Sabria telah diundang untuk berkongsi pengalaman dan kisah hidupnya bagi menyampaikan syarahan eksekutif bertajuk “Compasion Without Borders” anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh yang disaksikan lebih dari 500 penjawat awam Negeri Perak.

Bekas guru kelahiran Johor Bharu yang telah berhijrah ke Kanada sejak 30 tahun lalu, Sister Sabria melakukan kerja amal dengan menyediakan makanan untuk masjid dan gereja di Montreal, Kanada kepada ribuan gelandangan yang tidak berkemampuan sehingga mendapat jolokan ‘Muslim Mother Teresa’. Puan Sabariah Hussein atau lebih dikenali sebagai Sister Sabria ini berpandangan tiada seorang pun yang patut tidur malam, dibiarkan dalam kelaparan dan kebimbangan.

Turut hadir YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YB Dato’ Haji Mohd Gazali Jalal, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Sri Nordin bin Kardi, Naib Canselor USAS dan juga delegasi daripada Sister Sabria Foundations.

Semoga kehadiran Pengasas Sister Sabria ke negara ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat untuk terus berbakti.